Logo untuk MEMORIAL COVID-19 MALAYSIA, lukisan paru-paru yang dijangkiti Covid-19.
Mesra disleksia
Kembali ke laman Memorial
Khamshah Binti Ismail in a picture from March 2021. She is wearing glasses with purple frames, matching her headscarf.

Khamshah Ismail

Meninggal dunia pada 25 Jun 2021

Khamshah Ismail

Tarikh Kematian
25 Jun 2021
Tempat
Selangor

Mengenai Khamshah Ismail

Khamshah Ismail, 67, meninggal dunia jam 8.17 malam pada 25 Jun 2021. Anaknya, Mohd Hilmie Hussin berkongsi : Emak mempunyai enam orang anak, empat lelaki dan dua perempuan. Suami (abah), Hussin Abdul Rahman meninggal dunia pada 8 Mei 2014 akibat kecederaan teruk di kepala akibat rebah tiba-tiba. Sejak pemergian abah, emak pada mulanya menetap di Kelantan ditemani adik bongsu saya, Mohd Sopian Hussin. Emak menerima pencen askar abah dan pada 2018, emak disahkan menghidap sakit buah pinggang dan memerlukan dialisis. Oleh kerana mengambil kira keadaan kesihatan emak yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi selain baru sahaja menjalani rawatan katarak, kami adik beradik memutuskan untuk membawa emak tinggal bersama kami di Kuala Lumpur dan dijaga bergilir-gilir memandangkan tiga beradik tinggal di Kuala Lumpur/Selangor, seorang di Perak, manakala saya pula di Melaka ketika itu. Keputusan itu juga bagi memberi peluang kepada adik bongsu kami mencari pekerjaan demi masa depannya. Emak akur dan mula menetap bersama kakak sulung di Gombak, manakala saya berusaha sedaya upaya memenuhi tanggungjawab menjaga beliau setiap kali off day. Emak saya seorang periang dan suka memendam rasa kesunyian dan tersinggungnya. Semasa hayatnya, beliau sempat melihat 14 cucu dan setiap orang cucu dicurahkan kasih sayang melimpah ruah serta sama rata. Mengenangkan arwah emak, cukup meruntun jiwa. Secara peribadi, terlalu banyak jasa beliau yang hendak saya balas. Terlalu banyak perkara hendak saya buat demi menggembirakannya, namun banyak juga yang tak sempat saya tunaikan. Ketika emak dimasukkan di wad Hospital Selayang selama tiga bulan, saya masih bekerja di Melaka. Selama tempoh itu jugalah saya mengatur jadual sebaiknya agar dapat ke Kuala Lumpur dua kali seminggu untuk menemaninya di hospital. Saat beliau sakit di hospital bukanlah satu perkara yang elok di kenang, namun ada manisnya bila menjadi kenangan. Di situlah sayang anak-anak wajib dicurahkan, memberi sokongan moral dan segala-gala yang kami ada, apatah lagi emak ditimpa mild strok menyebabkan kaki dan paha kanannya tidak mampu bergerak. Tapi emak saya kuat, kuat bertarung sebagaimana emak tidak menitiskan air mata ketika abah meninggalkan kami. Saya sebagai anak yang sering emak ceritakan berada dalam kandungan selama 12 bulan, sangat memahami isi hati emak. Pernah pada masa kecil dulu, saya mengambil sebiji buah kana dari kedai dan makan senyap-senyap. Walaupun saya telah berumur sekalipun, emak tahu dan terus dapat menghidu kesalahan saya. Setiap kali terpaksa bertahan tanpa wang di universiti, emak pasti akan tergerak hati menghubungi dan mengirim wang saku, malah tatkala dewasa ini, emak masih memiliki firasat yang kuat terhadap anak-anak "Angah... terima kasih, emak bersyukur setiap kali emak sakit, angah ada dan mak berada di rumah angah. Ada yang temankan emak bila emak tak dapat lelapkan mata, angah urut dan picitkan emak", demikianlah antara kata-kata akhir emak kepada saya.

Sentiasa dalam kenangan

Menunggu perkongsian kata-kata penghormatan.

Kongsi kata-kata penghormatan